Sidang DUN bermula, ADUN Di Ingatkan Mematuhi Peraturan Dewan
KUALA TERENGGANU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu bermula pada pukul 9.35 pagi Isnin dengan Speaker Datuk Mohd Zubir Embong mengingatkan semua ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) supaya mematuhi semua peraturan yang ditetapkan.
Beliau mengingatkan mereka supaya menghormati satu sama lain, sambil menambah bahawa mereka tidak sepatutnya menyakiti hati dan perasaan orang lain.
"Apa yang kita akan lakukan hari ini akan dilihat oleh semua orang, termasuk pemerhati, majoriti daripada mereka adalah pelajar universiti.
"Saya harap semua orang akan menjadi contoh kepada mereka dan memainkan peranan untuk kepentingan negeri dan rakyat," kata beliau.
Persidangan kemudian diteruskan.
Suasana di Wisma Darul Iman pagi Isnin kelihatan tenang.
Tahap keselamatan juga ketat. Buat pertama kali, pemeriksaan imbasan dijalankan di pintu masuk dewan untuk mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Terdapat beberapa kemungkinan yang akan berlaku daripada persidangan hari ini, termasuklah jika Adun Kijal Datuk Seri Ahmad Said akan mencetuskan satu lagi kontroversi seperti yang dilakukannya pada persidangan 8 Mac lalu.
Mohd Zubir masih belum menerima sebarang notis usul daripada Ahmad Said untuk persidangan yang berjalan selama sehari ini.
Notis perlu diberi 14 hari sebelum persidangan.
Mohd Zubir berkata, notis yang sewajarnya perlu diberikan untuk sebarang usul dan perkara ini telah dinyatakan dengan jelas pada sidang terakhir, Mac lalu apabila Ahmad Said cuba untuk membentangkan usul tergempar, yang kemudiannya ditolak.
Speaker berkata situasi mungkin berbeza jika Ahmad Said telah mengemukakan notis mengikut tempoh pada kali ini.
Menteri Besar Ahmad Razif Abd Rahman kelihatan yakin bahawa sidang DUN dapat diteruskan tanpa terlalu banyak masalah.
Beliau sebelum ini berkata persengketaan antara dirinya dan Ahmad Said telah diselesaikan, sambil menambah pergolakan politik antara kedua-duanya hanyalah persengketaan antara adik dan abang atau masalah dalaman semata-mata.

No comments